Waktu Bila Lelaki Dibenarkan Tidak Berpuasa?

Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun ketiga agama Islam. Ia diwajibkan ke atas setiap Muslim lelaki dan perempuan yang memenuhi syarat-syarat tertentu seperti berakal, baligh (cukup umur), sihat, bermukim dan bagi wanita, suci dari haid dan nifas.

Waktu Bila Lelaki Dibenarkan Tidak Berpuasa

Islam juga menggariskan beberapa keadaan di mana kefarduan berpuasa ke atas umatnya baik lelaki mahupun wanita gugur. Penguguran ini tidak bermakna kewajiban tersebut diangkat secara mutlak kerana mereka masih dituntut menebusnya dengan beberapa amalan lain. Maknanya ianya bersifat pengecualian, kelonggaran atau keringanan (rukhsah) yang harus pula menepati beberapa kriteria yang ditetapkan syarak.

Selain daripada keringanan tambahan yang khusus kepada kaum Hawa atas faktor biologikal dan keistimewaan anugerah Allah kepada mereka, pengecualian-pengecualian yang dimaksudkan terpakai kepada kedua-dua jantina.

Pengecualian Berpuasa Ke Atas Lelaki.

Himpunan kelonggaran ini boleh dikelaskan kepada dua kategori: (i) Tidak berpuasa dan wajib ganti (qada); dan (ii) Tidak berpuasa tetapi wajib bayar denda (fidyah).

(i) Tidak Berpuasa dan Wajib Ganti

Dibenarkan tidak berpuasa (berbuka) ke atas lelaki-lelaki yang sakit tetapi berpotensi (ada harapan) untuk sembuh serta mereka yang dalam perjalanan (musafir). Ini jelas dinyatakan dalam al-Quran, surah al-Baqarah (2), 184:

Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan, wajiblah dia menggantikannya pada hari-hari yang lain.

Firman Allah ini disokong oleh banyak hadis Rasulullah melalui riwayat ulama muktabar seperti Imam Ahmad, Abu Dawud, Baihaqi dan lain-lain dengan sanad yang sah. Penyakit yang mengharuskan tidak berpuasa ini merujuk kepada penyakit berat yang akan menjadi lebih buruk atau melambatkan sembuh sekiranya pesakit berpuasa.

Keadaan ini boleh ditentukan berdasarkan pengalaman, nasihat doktor/pakar ataupun sangkaan kuat (ghalabah al-zann) yang biasanya boleh disimpulkan berdasarkan situasi semasa pesakit.

Turut termasuk dalam kumpulan ini ialah orang-orang sihat yang dikhuatiri ditimpa penyakit atau masalah kesihatan yang serius sekiranya berpuasa. Begitu juga mereka yang kebuluran atau kehausan melampau sehingga boleh membawa kemudaratan kepada diri atau nyawa mereka seandainya diteruskan berpuasa, walaupun dia seorang yang sihat dan tidak bermusafir.

Bagi orang-orang yang bermusafir, tahap kesukaran perjalanan mereka tidak diambil kira dalam penentuan kebenaran berbuka. Samada mereka bermusafir berjalan kaki, berkenderaan unta, kereta, keretapi, kapal laut atau kapalterbang – semuanya diberikan kelonggaran yang sama selagimana perjalanan mereka adalah atas tujuan yang diharuskan agama dan membolehkan mereka memendekkan (qasar) solat (perjalanan melebihi 2 marhalah = 93 km).

(ii) Tidak berpuasa dan Wajib Fidyah

Rukhsah diberikan untuk tidak berpuasa kepada orang-orang tua, orang sakit yang tiada harapan sembuh, orang-orang yang sulit melakukannya, mereka yang melakukan pekerjaan berat dan mereka yang menerima hukuman kerja berat dalam tahanan (sekiranya ada).

Tiga bentuk keuzuran pertama boleh terjadi kepada lelaki dan wanita manakala dua jenis kemaafan terakhir lebih menjurus kepada golongan lelaki sahaja. Semuanya diberikan pengecualian berpuasa sekiranya amalan itu terlalu memberatkan mereka.

Bagaimanapun, sebagai tebusan, semua mereka diwajibkan pula memberi makan seorang miskin secupak makanan ruji atau yang mengenyangkan bagi setiap hari Ramadhan yang ditinggalkan tanpa perlu mengqadakan puasa berkenaan.

Dalam konteks ini, dalil Qurani yang berkaitan juga terdapat dalam surah al-Baqarah (2), ayat 184:

Dan wajib bagi orang-orang yang sulit melakukannya (tidak terdaya berpuasa), membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.

Ayat al-Quran ini turut mendapat sokongan dan penjelasan lanjut dari sejumlah hadis-hadis Nabi yang sahih riwayat dan sanadnya. Jelas bahawa semua mereka yang tergolong dalam kategori ini dirangkumkan oleh al-Quran sebagai “orang-orang yang sulit melakukannya.”

Dengan kata lain, mereka adalah orang-orang yang tidak sanggup atau tidak terdaya menunaikan kewajipan berpuasa atas alasan-alasan yang munasabah dan diterima Islam, tidak terhad tetapi termasuk perkara-perkara yang dibincangkan di sini.

Berkaitan mereka yang bekerja berat, antara kerjaya sarahidup yang dimaksudkan adalah seperti di tempat-tempat yang melibatkan kepanasan api (contoh: industri pengeluaran batu-bara/arang, penempaan kaca/besi), buruh-buruh pembuat jalanraya di bawah panas terik matahari atau pekerja-pekerja binaan yang memerah keringat dari pagi hingga senja. Semua ini sememangnya tanggungjawab kaum Adam sebagai ketua keluarga.

Contoh pekerja berat terbaik ialah pelombong/pengangkut sulfur (belerang) di Gunung Berapi Ijeng, Jawa Timur, Indonesia. Mereka bekerja di Kawah Ijeng yang berudara panas dan bertoksik, memikul bebanan di bahu antara 80 – 100 kg, berjalan kaki menaiki dan menuruni jurang dari tempat pelombongan ke pusat pungutan hasil sejauh 2-5 km sehala, berulang-alik 10 kali sehari selama 12 jam!

Semuanya menggunakan tenaga dan kudrat tulang empat kerat tanpa sebarang bantuan mesin atau lain-lain peralatan moden. Justeru, alangkah besarnya rahmat Islam dan mudahnya urusan agama dengan kelonggaran yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam profesyen-profesyen yang dinyatakan.

Benar dan tepat sekali firman Allah dalam surah al-Hajj (22), ayat 78:
Dan tidaklah Allah mennyebabkan timbulnya kesulitan bagimu (menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah) dalam urusan agama.

Kesimpulan

Sebagaimana kewajipan berpuasa ditetapkan oleh Pemilik Syariah, kelonggarannya juga ditentukan oleh Allah s.w.t. dengan tafsiran, dalam keadaan tertentu, dilakukan oleh ulama yang berwibawa.

Umumnya keringanan-keringanan yang diberikan meliputi lelaki dan wanita, dengan beberapa rukhsah tambahan tertentu yang hanya khusus untuk golongan kedua.

Pengecualian yang lazimnya difahami untuk lelaki akan turut terpakai untuk wanita sekiranya mereka juga terlibat atau berada dalam situasi yang serupa, contohnya pekerjaan berat untuk sara hidup diri dan keluarga.

Terangkatnya kewajipan keagamaan dalam kes-kes yang dibincangkan menegas dan membuktikan bahawa hidup beragama tidak sama sekali membebankan umat Islam.

Kredit Info : my.news.yahoo.com : Pengecualian Berpuasa Ke Atas Lelaki.

861 total views, 1 views today

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , ,

About the Author

Assalam, Saya Kamal Mustafa (KM). Mula berblogging pada hujung tahun 2007. Cuba mempraktikan Kitab Teknik SEO Merah Jambu yang awesome. Minat dengan fotografi tetapi tidaklah secara serius. Sering menghabiskan masa bersama keluarga. Baru-baru nie cuba berjinak-jinak berniaga kecil-kecilan menjual Ice Blended dan Burger

5 Enlightened Replies

Trackback  •  Comments RSS

  1. suri says:

    puasa badan sihat, akal sempurna tiada sebarang halangan sebab puasa itu satu kewajipan bagi setiap orang islam

  2. suri says:

    mudah kita sahaja yang banyak alasannya

  3. suri says:

    tak puasa mesti kemudian hari kena ganti

  4. hafiz
    Twitter:
    says:

    Islam memang amat memudahkan umatnya…

Post a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

Top