Permasalahan Tawaf

Tawaf[Image Via : alhabibaidruss.blogspot.com]

Makna Tawaf

TAWAF pada bahasa bermaksud mengelilingi. Seperti yang diketahui, pada istilahnya pula, tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali yang diniatkan untuk tawaf kerana Allah dengan mengikut syarat-syaratnya.

Tawaf adalah salah satu rukun haji dan umrah yang mesti dilakukan oleh mereka yang melakukan ibadah haji dan umrah.

Cara tawaf adalah dengan bermula mengiring tubuhnya semua ke arah hajar al-aswad. Tidak sah tawaf tanpa melepasi garisan hajar al-aswad semua badannya.

Yang demikian dia mengadap kaabah dan berdiri di sebelah hajar al-aswad dengan bertentangan dengan arah rukun Yamani, di mana jadilah semua hajar al-aswad di sebelah kanannya dan bahunya yang kena di hujung sebelah hajar al-aswad.

Kemudian niatlah kerana Allah SWT dengan membanyakkan mengadap hajar al-aswad berjalan ke arah kanan hingga melepasi hajar al-aswad.

Apabila dia melepasi dengan menjadikan kirinya ke arah Baitullah dan kanannya di luar kalau dilakukan cara ini bermula daripada yang pertama lagi dan meninggalkan mengadap Hajar al-Aswad, hukumnya harus.

Kemudian hendaklah berjalan ke depan mengelilinginya (tawaf kaabah, melintasi multazam yang terletak antara Hajar al-Aswad dan pintu kaabah). Dinamakan multazam kerana ramai orang beriltizam di situ memohon doa.

Kemudian melalui rukun kedua selepas Hajar al-Aswad, dinamakan rukun Iraqi, kemudian melalui belakang Hijir Ismail yang menghadap ke arah Syam dan Maghribi. Dia berpusing mengelilinginya hingga ke rukun yang ketiga.

Diletakkan rukun ini dan yang sebelumnya dengan dua rukun Syami. Ia juga dinamakan dengan Gharbiani (dua ke arah barat).

Kemudian mengelilingi kaabah hingga sampai kepada rukun yang keempat yang dinamakan rukun Yamani, kemudian berjalan ke hajar al-aswad, tempat memulakan tawaf, maka sempurnalah sudah satu pusingan.

Kemudian dia hendaklah sempurnakan lagi hingga cukup tujuh tawaf. Setiap pusingan dengan satu tawaf dan setelah selesai tujuh pusingan baru dianggap sempurna tawaf.

Imam al-Syafie Rahimahullah memakruhkan dengan menamakan tawaf sebagai syaut dan dur (pusingan).

Permasalahan Tawaf.

Berikut beberapa permasalahan hukum berkaitan ibadah tawaf:

- Isu batal wuduk bersentuhan antara lelaki dan perempuan dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu.

Muzakarah Haji oleh Tabung Haji memutuskan jika di Mekah pada musim haji ketika tawaf atau berada dalam Masjid al-Haram tidak batal wuduk bersentuh antara lelaki dan perempuan yang ajnabi kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.

- Dalam al-Nihayah menyatakan bahawa, orang yang haid yang perlu tawaf boleh bertaklid kepada mazhab Abu Hanifah dan Ahmad dalam salah satu riwayatnya.

Sheikh Abdul Fatah Husin Rawah berkata: “Ini kerana kedua-duanya berpendapat tidak disyaratkan taharah daripada dua hadas dalam tawaf sama seperti wuquf di Arafah.”

- Orang nifas sama hukumnya dengan orang yang haid dalam berkenaan dengan sah tawafnya.

- Sheikh Abdullah bin Jasir dalam bukunya Mufid al-Anam berkata: “Sheikh al-Islam berpendapat, begitu juga perempuan yang haid jika tidak mungkin melaksanakan tawaf fardu dengan sebab kesuntukan waktu dan terpaksa meninggalkan Kota Mekah mengikut satu pendapat di kalangan ulama, memadai baginya. Namun dikenakan dam sama ada seekor kambing atau seekor unta jika haid atau janabah dan seekor kambing jika daripada hadas kecil.”

Walaupun begitu, beliau berpendapat sewajarnya wanita dalam haid tidak tawaf kecuali dalam taharah.

- Niat tawaf, jika tawaf bukan ibadat haji dan umrah, maka tidak sah tanpa berniat tanpa sebarang khilaf. Ibn Allan berkata: “Adapun qasad perbuatan, maka wajib niat secara mutlak.”

Sebaliknya menentukan niat adalah jika sekiranya selain daripada tawaf nusuk (haji) atau umrah. Ini kerana sunat niat atas niat. Jika fardu seperti tawaf nazar maka hukumnya adalah wajib.

- Idtiba’ hanya pada tawaf yang ada berlari anak (raml), tanpa raml tiada idtiba’ padanya. Didatangkan keterangan tentang tawaf yang disertai raml melainkan disunatkan idtiba’ pada semua pusingan tawaf yang tujuh, sedangkan raml hanya untuk tiga pusingan yang pertama.

Kanak-kanak seperti orang yang baligh sunat idtiba’ mengikut mazhab yang masyhur. Perempuan tidak boleh idtiba’ kerana tempat idtiba’ itu bagi perempuan adalah aurat.

- Istilam (mengucup atau menyentuh hajar al-aswad) atau jika tidak berdaya (kerana ramai orang) memadai dengan diisyaratkan menyapu daripada jauh dengan tangan kemudian mengucupnya) hajar al-aswad dan mengucupnya dengan meletakkan wajahnya pada batu tersebut dan telah diterangkan terdahulu.

Sunat juga dia istilam Rukun Yamani tanpa mengucupnya. Cukup hanya mengucup tangan yang dia istilam dengannya. Kucupan tersebut hendaklah selepas istilam. Inilah pendapat yang sahih dan pendapat jumhur ashab kami.

Imam al-Haramain berkata: “Jika dia mahu, boleh mengucupnya kemudian istilam dengannya dan jika dia mahu, dia istilam kemudian dia mengucupnya. Pendapat yang terpilih adalah mazhab jumhur.”

- Imam al-Nawawi berkata: “Berturutan antara pusingan tawaf hukumnya sunat muakad. Namun, ada pendapat yang mengatakan wajib.”

Jika terpisah dengan masa yang lama dan dia menyangka melihat padanya telah memutuskan tawafnya atau selesai daripada tawafnya, lebih baik melakukan semula untuk keluar daripada khilaf.

Jika dia berpegang dengan pendapat yang pertama, tidak perlu mengulang. Hukumnya harus mengikut pendapat yang asah.

- Ijmak ulama berpendapat tawaf pada waktu-waktu yang dilarang solat adalah harus.

- Dalam Mazhab Syafie, solat sunat tawaf harus dilakukan pada semua waktu tanpa makruh. Demikian juga dengan Mazhab Hanbali.

- Sunat istilam Hajar al-Aswad dan di sisi Mazhab Syafie mengucupnya dan meletakkan dahi padanya.

- Rukun Yamani mengikut Mazhab Syafie hanya sunat istilam tanpa mengucup.

- Idtiba’ dan raml hukumnya sunat di sisi Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali.

- Syarat taharah daripada dua hadas dan najis serta menutup aurat adalah syarat di sisi Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali.

- Sunat membaca al-Quran ketika tawaf mengikut pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie dan Ahmad.

- Jika jenazah hadir untuk disolatkan sedangkan ketika itu ada yang bertawaf, ada dua pendapat:

i. Mengikut Mazhab Syafie menyempurnakan tawaf adalah lebih utama. Ini juga pendapat Malik, Ibn al-Munzir, Ata’ dan Amru bin Dinar.

ii. Keluar daripada tawaf dan solat jenazah sebentar adalah lebih baik. Ini pendapat Abu Hanifah.

- Jika seorang yang dalam ihram membawa atau menanggung orang yang dalam ihram lain dan tawaf kedua-duanya dengan berniat untuk diri masing-masing ada tiga pendapat mengikut mazhab Syafie:

i. Dikira berlaku kepada yang membawa. Inilah pendapat yang asah. Ini juga pendapat Malik dan satu riwayat daripada Ahmad.

ii. Dikira berlaku kepada yang dibawa.

iii. Dikira berlaku kepada kedua-duanya. Pendapat yang terakhir ini juga dikemukakan oleh Abu Hanifah dan Ibn al-Munzir dan satu riwayat daripada Ahmad.

- Mengikut pendapat Syafie, Hanbali dan Maliki, bagi yang melakukan haji qiran hanya perlu tawaf sekali dan juga saie sekali.

Sedangkan Abu Hanifah berpendapat dua kali tawaf dan saie iaitu umrah dan haji.

Ini juga dihikayatkan oleh Ali dan Ibn Masud. Walaupun begitu, Ibn al-Munzir berkata: Nisbah kepada Saidina Ali adalah tidak benar.

- Apabila seorang selesai tawaf dan solat fardu selepas itu memadai daripada solat sunat tawaf di sisi Mazhab al-Syafie mengikut pendapat yang asah. Imam Ahmad berkata: “Aku harap ia memadai”. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berkata: “Ia tidak memadai”.

Imam al-Nawawi berkata: Istimewa solat ini daripada yang lainnya dengan sesuatu iaitu dia boleh masuk ganti. Orang yang mengambil upah haji boleh solat untuk yang mengupah. Inilah pendapat yang  sah.

Dalam kalangan ashab kami, yang berpendapat bahawa solat yang mengambil upah berlaku untuk dirinya. Jika dia hendak tawaf dua kali atau lebih, sunat baginya solat dua rakaat setiap kali tawaf.

Jika dia tawaf dua kali atau lebih atau banyak tanpa solat kemudian dia solat bagi setiap tawaf dua rakaat, hukumnya harus, tetapi dia telah meninggalkan cara yang afdal.

Dalam Hasyiah menyatakan memadai juga dua rakaat dari semua tujuh pusingan tersebut tanpa makruh sebagaimana juga disebut dalam al-Majmu’. Ini berdasarkan ia adalah sunat.

Kredit Info : Utusan.com.my

74 total views, 3 views today

Tags: , ,

2 Enlightened Replies

Trackback  •  Comments RSS

  1. Kamal Mustafa says:

    @jasman : kito pun tak tau ado laie ko tidak =_+

  2. jasman says:

    sy tak tahu bila boleh jejak kat sana…sy dgr pakcik kedai makan tu cerita…dia g daftar haji dpt dlm tahun 2040…hahaha
    hidup lg tak pakcik tu nanti…hehe
    jasman recently posted…Kebersihan Di Dahulukan, Keselesaan Di Utamakan…!!!My Profile

Post a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

Top